Alhamdulillah, setinggi lafaz kesyukuran dipanjatkan kepada Allah yang Maha Esa kerana dengan izin dan rahmat-Nya di atas ruang kontemporari yang telah dimandatkan kepada saya, Muhammad Aiman Arif bin Abu Bakar pelajar PISMP ambilan Jun 2021 melalui laman sesawang rasmi Anjung IPGMKI untuk menyampaikan naratif selaku Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh (IPGMKI) Sesi 2024/2025.
Sebagai permulaan aluan bicara, saya dengan rendah
diri berasa berbesar hati untuk mengetuai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP)
bagi sesi kali ini, kepercayaan yang telah diberikan oleh individu yang saya
hormati iaitu Pengarah IPGMKI, Dr. Yusminah binti Mohd. Yusof dan Ketua Jabatan
Hal Ehwal Pelajar (KJ HEP), Dr. Abdul Razak bin Noruzzaman untuk menjadikan
kami sebagai wadah dan saluran utama antara pihak pentadbir dan juga para
pelajar akan kami pegang dengan penuh integriti.
Tidak dilupakan juga kepada suara majoriti para
pelajar IPGMKI yang telah diraih sebagai manifestasi kepercayaan dan hormat
mereka dalam mempertanggungjawabkan kami sebagai wakil untuk menjaga
kemaslahatan dan kebajikan mereka, saya akan cuba sedayanya sepanjang tempoh
kami berkhidmat tunai tetap kami tunaikan amanah ini bersama-sama. Saya juga
menyeru para pelajar untuk bersama-sama memberikan kerjasama seutuhnya waima
secara langsung ataupun tidak dalam membawa transformasi yang realistik.
Untuk JPP yang baharu sahaja dilantik, saya
berpesan kepada kamu dan diri saya sendiri agar kita adalah insan yang
terpilih, jagalah martabat dan imej kita sebagai pemimpin, bawalah pengaruh
yang baik kepada rakan-rakan dan capailah sebanyak mana pencapaian yang boleh
dicapai. Walau permulaan paradoksnya nanti akan hadir mehnah, cangkaliwang dan
beban yang bakal ditempuhi, namun jangan pernah terbit jurang nuansa sesama
kita sehingga ke penghujungnya. Kadang-kadang kita gelabut menghakimi
sehinggakan alpa mencari solusi. Terus berpegang pada hakikat perang
bermalaikat, sabung berjuara. We are in this together.
Intiha
bicara, saya berharap agar organisasi kami dapat menyumbang dan memberi faedah
semaksimumnya dalam pelbagai aspek bagi menjunjung citra sebagai “IPGMKI Sederap
Melakar Kecemerlangan.” Oleh itu, kami akan menyambung hajat yang ditinggalkan
oleh JPP 23/24 dengan mengkiblatkan pimpinan kami di bawah satu slogan iaitu
Kepimpinan Berintegriti Sederap Transformasi.
Sekian, terima kasih.
Muhammad Aiman Arif bin Abu Bakar,
Yang Di-Pertua JPP sesi 24/25
IPGM Kampus Ipoh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan